Friday, May 13, 2016

Selamat Hari Guru 2016



...
....
.....

Mula menapak menjadi guru,
di gedung ilmu jauh di hulu,
sunyi daripada sesak berpusu-pusu,
jauh sekali keluarga yang dirindu.

Tahun keempat menabur bakti di sini,
pelbagai onak dan ranjau telah ditempuhi,
debu tanah, rintik hujan juga menjadi saksi,
mandi sungai, banjir juga buaya sudah ku lali.

Anak muridku dipesan sentiasa,
cikgu datang dari jauh mahu kamu berjaya,
seiring murid lain di pusat kota,
agar kelak kamu megah di persada.

Murid keluar masuk bertukar-tukar,
ingatan buat cikgu janganlah pudar,
memori di sini biar dipadam sukar,
kasih terjalin mudahan selamanya mekar.

Ilmu dan nilai sedayanya cikgu terapkan,
harap kamu sentiasa amalkan,
segalanya untukmu telah cikgu halalkan,
buat bekalan menemui Tuhan.

Anak-anakku,
umang dan ujangku,
walau jauh Pekan Tatau dengan hulu,
sekalipun Sarawak dan Pulau Pinang jauh beribu batu,
doa cikgu sentiasa buatmu,
semoga kejayaan mengiringimu,
waima pada ketika itu,
kamu sudah lupa akan daku,
Mohd Nizar Abd Latib, guru mu.

Sementara kamu masih di sini bersamaku,
sebelum aku melangkah pergi ke negeri asalku,
ucapkanlah seikhlasnya padaku,
TERIMA KASIH CIKGU, SELAMAT HARI GURU.

...
....
.....

Cikgu Nizar, 11.17 malam 12 Mei 2016