Wednesday, May 16, 2012

Maafkan Cikgu Bahagian 2

Sedutan Bahagian 1.


Selepas rehat, aku dari pusat sumber melalui kantin. Murid-murid 5 Maju berada di kantin. Murid-murid lelaki sedang bermain lawan pemadam, aku lihat Nazri hanya memerhati kawan-kawannya tapi dia tidak turut bermain bersama-sama.

Di meja berasingan, aku duduk. Aku memanggil Nazri.

'Nazri, datang sini kejap.'

..................................................................................................................................

MAAFKAN CIKGU


Bahagian 2



Nazri berjalan ke arah meja aku dan terus duduk di kerusi bertentangan dengan aku. Mukanya bersahaja, matanya masih kuyu seperti di dalam kelas tadi. Lidahku kelu untuk menutur bicara namun apa yang pasti aku perlu meminta maaf daripadanya atas keterlanjuran soalan aku tadi.

Tetiba aku pula yang berdebar.

'Cikgu... errr.. cikgu... hmmmm'


'Kenapa cikgu?' Dia mula bersuara.


'Cikgu nak minta maaf. Tadi cikgu tak sengaja tanya soalan macam tu. Cikgu pun tak tahu ibu kamu....' 


Tergantung bicaraku.

Dia tersenyum. Manis. Seperti selalu.


'Cikgu tak perlu minta maaf. Saya sikitpun tak marah kat cikgu. Saya tau cikgu tak tahu pasal kisah saya. Saya tak ambil hati pun cikgu. Sudah nasib saya cikgu.'


Kata-katanya penuh ikhlas. Di hujung bicaranya, kedengaran lain di telinga aku. Melihatkan dirinya yang baru berusia 11 tahun, tidak dapat merasai kasih sayang seorang ibu menyebabkan air mata aku mula bertakung. Aku perlu kawal. Takkan air mata ini mengalir di hadapannya. Aku mesti kuat!


'Kalau kamu tak kisah, boleh ceritakan kat cikgu? Cikgu nak tahu kisah kamu.'


Dia mula menceritakan satu persatu (terlalu privasi untuk dikongsikan di sini). Dalam kisahnya, aku tahu betapa dia mahukan belaian kasih seorang ibu. Dalam ceritanya, aku tahu dia sangat merindui sayang seorang ibu. Katanya, dia tak punya kehidupan macam kawan-kawannya yang lain. Bila sakit, ibu yang akan menjaganya. Bila dia lapar, ibu yang memasakkan untuknya. Bila menghadapi peperiksaan, ibu yang akan mendoakan kejayaannya. Dia tak ada doa seorang ibu. Katanya...


'Ustazah selalu cakap kat kami sekelas, kalau nak pandai, minta ibu doakan tiap-tiap hari lepas solat. Sebabnya doa seorang ibu mudah dimakbulkan oleh Allah S.W.T. Tapi cikgu, ibu saya tinggalkan saya. Saya tak ada ibu, macam mana saya nak minta ibu doakan untuk saya cikgu?'


Sebak aku mendengarnya. Ternyata aku tidak sekuat yang disangka. Dihadapannya aku menitiskan air mata. Luahan isi hati anak muridku ini sangat tulus dan ikhlas.


'Nazri, percayalah cakap cikgu. Walau di mana saja ibu kamu sekarang berada, dia mesti ingatkan anak-anak dia. Dia pasti akan ingatkan kamu. Kamu jangan risau, mesti ibu kamu mendoakan kamu berjaya dunia dan akhirat. InsyaAllah.'


'Betul ka cikgu? Kalau betul, saya mesti jadi pandai kan?'


Aku mengangguk-angguk tanda setuju. Harapan yang aku berikan padanya membuatkan dia ceria seperti selalu. Dia tersenyum sambil memandangkan ke arah lain. Nampak sarat dengan harapan.


'Memang boleh jadi pandai. Tapi tak bermakna aku tak perlu baca buku, buat latihan semua. Kamu masih perlu berusaha untuk menjadi pandai. Nazri, kamu pun jangan lupa untuk mendoakan untuk ibu kamu ya'


Ya Allah, Kau jadikanlah dia anak yang bertakwa, berguna, berjaya di dunia dan di akhirat. Doaku dalam hati.


'Hai cikgu. Cikgu nak buat macam Dr. Fadzillah Kamsah ka? Selamiiiii jiwaaaaaaaa'


Fakhrul menyampuk dengan gayanya yang meniru gaya pakar motivasi Dr Fadzillah Kamsah. Jenakanya mengundang ketawa di bibir aku dan Nazri. Kami sama-sama ketawa. Perlahan-lahan aku mengelap air mata aku yang mengalir tadi. Ada-ada saja karenah anak murid aku nih. Aku bangun untuk bergerak ke bilik guru.


'Terima kasih cikgu.' Kata Nazri sambil memeluk aku dengan erat.


'Laaa kenapa ni?' Soalku penuh tanda tanya.


Dia hanya senyum. Senyuman lebarnya memberi ketenangan pada hati aku. Maafkan cikgu, Nazri.


Aku gembira memilih profesion ini dan aku berbangga dengannya. Tetapi aku menggalas satu tanggungjawab yang amat berat, mendidik manusia menjadi insan. 


...............................................................................................................................

SELAMAT HARI IBU

DAN

SELAMAT HARI GURU, Cikgu!


2 comments:

Anonymous said...

u know how soft my heart,sedihnye.i cried.iman

Cik Aineys Saari said...

wah ciut sedihnya aku baca.. teiba rasa mcm baca novel kan.. huhuhu