Thursday, May 10, 2012

Maafkan Cikgu Bahagian 1

MAAFKAN CIKGU

Bahagian 1


'Bangun semua. Assalamualaikum cikgu.'

Izzul selaku ketua kelas memberi salam diikuti dengan murid-murid 5 Terbilang setelah aku memasuki kelas. Suasana terkawal.

'Waalaikummussalam. Duduk semua. Baiklah, cikgu akan edarkan lirik lagu Keluarga Saya. Siapa yang dapat, baca lirik tu terlebih dahulu.'

Dalam keluarga saya
Ada ibu ayah
Ada kakak abang
Dan juga adik

Kami semua keluarga bahagia
Saling menolong dan bekerjasama

Sayang ibu oi oi
Sayang ayah oi oi
Saya sayang keluarga saya

Aku mula menyanyikan lagu Keluarga Saya yang berentak Can Mali Can seterusnya diikuti dengan murid-murid tahun 5 Terbilang ini. Kelihatan semuanya dapat menyanyikan dengan baik, kuat, ceria dan penuh semangat, mungkin kerana lagu ini familiar dengan mereka. Selesai nyanyian, aku mula bersoal jawab.

'Apakah anggota keluarga yang terdapat dalam lirik lagu ini?'

'Apakah yang kamu faham melalui lirik lagu ini?'

Beberapa orang murid dipilih untuk menjawab soalan ini. Memandangkan 5 Terbilang ini kelas pertama, murid-murid sangat aktif dan tidak malu untuk cuba menjawab soalan. Dalam hati aku terdetik, ini kalau ada pensyarah confirm pujian meletup, ye la ingat senang nak tarik perhatian murid-murid ni, respons mereka pun baik. Sempat pula berangan yer!

Kemudian aku bertanya lagi,

'Nazri, kamu sayang tak ibu kamu?'

Dalam tergaru-garu, dia bangun. Namun dia diam seribu bahasa. Pandangannya ke papan putih di hadapan. Kosong. Oh ni mesti berangan tak dengar soalan aku. Detik hati aku. Aku ulang soalan yang sama.

'Nazri, kamu sayang tak ibu kamu?'

'Hmmm... hmmmm.. hmmmmm .' 

Dia masih teragak-agak nak menjawab. Suasana kelas sepi. Aku berasa sedikit hairan. Susah sangat ke soalan aku tu? Murid-murid lain pun diam, selalunya murid-murid lain pasti menyampuk atau sibuk untuk menjawab. Pelik. Aku ubah soalan. 

'Takkan kamu tak sayang ibu kamu Nazlie?'

Kemudian, Firdaus memanggil aku dan dia berbisik 'Cikgu, Nazri tak da mak. Mak dia tinggalkan dia masa dia umur 2 tahun.' Aku hampir terduduk tatkala itu. Apa yang aku dah buat ni? Pasti Nazri berkecil hati dengan soalan aku tadi. Air mata aku mula bergenang tapi aku harus teruskan kelas seperti biasa. Guru mesti profesional! Nazri, maafkan cikgu...

'Ok, tak pa. Duduk Nazri.'

Aku mengajar seperti biasa. Topik pada hari ini mengenai Peranan dan Tanggungjawab Anggota Keluarga Asas. Semasa aku memberi penerangan mengenai peranan ibu, Nazri hanya menunduk merenung bawah meja. Aku masih ingat antara peranan ibu yang aku ajar pada hari itu ialah memberi kasih sayang, memasak untuk keluarga dan memastikan rumah sentiasa bersih dan kemas. Aku terpaksa mempercepatkan penerangan ketika memasuki peranan ibu ini. 

Setelah selesai penerangan, aku jalankan aktiviti kuiz dan mencari harta karun. Kelas berjalan dengan aktif. Farhana, Aishah, Izara, Izzul, Najmi, Anwar, Fazura dan semua kelihatan sangat gembira dan sangat aktif. Hampir kesemua soalan kuiz dapat dijawab dengan betul. Nazri turut menyertai namun aku tahu dia hanya buat-buat gembira dengan ahli kumpulannya.

Matanya kuyu, senyumannya hambar dan dia tidak seceria seperti selalu. Dalam kelas aku yang lalu, dialah antara murid yang gemar berjenaka dengan aku, dialah yang kerap memberi respons. Hari ini segalanya hambar. Salah aku. Aku bersalah atas desakan soalan-soalan aku tadi. 

Kelas tamat setelah loceng berbunyi namun penyesalan aku masih berterusan...

Selepas rehat, aku dari pusat sumber melalui kantin. Murid-murid 5 Maju berada di kantin. Murid-murid lelaki sedang bermain lawan pemadam, aku lihat Nazri hanya memerhati kawan-kawannya tapi dia tidak turut bermain bersama-sama.

Di meja berasingan, aku duduk. Aku memanggil Nazri.

'Nazri, datang sini kejap.'


Bersambung...

No comments: