Friday, May 6, 2011

Review Novel 7 Hari Mencintaiku.

7 hari mencintaiku (Siti Rosmizah, 2011)



"Khuzairi, dalam diam mencintai gadis bernama Mia Adriana. Cinta pandang pertama menjadikan dia seorang perindu yang setia. Namun sifat angkuh dan sombong gadis ini menyebabkan Khuzairi tak pernah walau sebesar hama jua menyimpan impian untuk memilikinya.
"Kau ni memang dasar jantan tak sedar diri tau. Kau memang saja nak cari pasal dengan aku kan? Hei Khuzairi kau dengar sini. Kau tu budak kampung yang tak sedar diri! Tapi ada hati nak kahwin dengan anak orang kaya! Sedar-sedarkanlah diri kau tu. Kau tak layak langsung nak berdamping dengan aku lah. Kau nak aku bawak cermin ke suluhkan muka kau. Buat tak reti bahasalah pulak. Aku harap lepas ni kau akan ingat kata-kata aku ni sampai mati. So...apa kata kau berambus sekarang! Kau pergi balik jaga kambing-kambing kau sebab kat situ baru betul tempat kau!"
Aduhai! Angkuh sungguh kata-katanya. Bungkam seketika Khuzairi mendengarnya.Jauh di sudut hati dia mula bertanya, sampai bila dia mampu untuk terus bertahan makian dan hinaan yang dilemparkan oleh gadis ini? Sudah lalikah telinganya? Sudah matikah perasaannya? Tidak ke dia kecewa? Khuzairi mengangguk perlahan.
"Ya aku juga manusia biasa, aku ada hati dan perasaan, tapi aku tidak mampu untuk berbuat apa-apa demi satu amanah, aku harus menelannya, demi satu amanah, aku harus terus bersabar..."
Amanah? Amanah siapa yang digenggam oleh Khuzairi itu sehingga dia sanggup mengheret dirinya ke kancah derita? Lupakah Mia Adriana, hidup ini bagaikan putaran roda, satu waktu keangkuhan dan kesombongan itu akan memamah dirinya sendiri. Berdoalah di kala keinsafan menjelma nanti, cinta lelaki bernama Khuzairi ini belum terpadam buat dirinya."

Khuzairi: Seorang doktor dan juga seorang penternak kambing. Sikapnya yang sabar, baik telah menyebabkan orang sekeliling menggunakannya atas kepentingan masing-masing. Tidakkah mereka sedar, dia juga punya perasaan, punya hati? Dia juga keliru. Antara mak tiri atau isteri? Dia keliru siapakah yang perlu diutamakan. Antara kasih ibu atau sayangnya pada isteri, Mia Adrianna. Dalam dia ingin menjadi anak yang taat, dia juga ingin menjadi suami yang setia. Namun dia tahu mak tiri dan isterinya tidak sekepala ibarat buku bertemu dengan ruas.Siapa yang menjadi pilihannya???


Mia Adrianna: Seorang peguam. Anak orang kaya namun dalam sekelip mata segala-galanya hilang. Ayahnya... dan juga harta meninggalkannya. Dia tersasar namun tiada siapa yang mahu membimbingnya. Dalam egonya, dalam marahnya, dalam kata-katanya, ada juga kebaikan yang dia lakukan agar si suami tidak terus ditindas. Namun... orang lain tidak mengerti akan dirinya menyebabkan dia ingin lariiii jauh. Meninggalkan suami serta anak yang baru dilahirkan. Atas satu kejadian yang berlaku, dia benar-benar insaf. Dia ingin menagih semula kasih suaminya walaupun hanya dalam tempoh 7 hari. Dia ingin menjadi ibu yang baik kepada anak yang ditinggalkannya, Alissa Arianna. Sempatkah dia menagih kasih suaminya? Bolehkah dia menjadi ibu yang baik? Bolehkah ibu mentuanya menerima dirinya???


SEGALANYA TERJAWAB DALAM 7 HARI MENCINTAIKU

Novel yang sangat menarik untuk dibaca. Rasa berbaloi dengan harga novel RM 32.90 kerana pembaca akan dibuai dengan rasa bahagia, gembira, suka serta duka, kecewa, geram, benci. Semuanya bersatu menjadikan pembaca amat puas setelah membacanya. Setiap bab digarap dengan baik, penceritaan yang menarik dan penulisannya yang mendalam membuatkan pembaca seolah-olah berada dalam imaginasi penulis. Kesemua ini menjadikan novel 7 hari mencintaiku adalah novel yang harus dimiliki oleh pembaca novel di luar sana.


p/s: cepat pi beli sebelum habis! :)